JOHOR BAHRU – Kedudukan status Sabah dan Sarawak kepada wilayah jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perhatian terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata ia merupakan satu lagi langkah positif dalam merealisasikan MA63.
“Alhamdulillah dari semasa ke semasa, Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri dilihat sangat prihatin berhubung hal-hal dalam MA63,” katanya kepada pemberita selepas Program Wam2Care bersama 300 mahasiswa dan mahasiswi Sabah di sini semalam.
Pada Jumaat baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 dilaporkan berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah.

Sebelum ini, Anwar berkata Kementerian Kewangan bersetuju agar pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.
Sementara itu, Mohd Arifin yang sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas negeri berkata beliau akan mendapatkan taklimat berkaitan portfolio baharunya selepas terlibat dalam rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah baru-baru ini.
“Sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang baharu, saya akan mendapatkan taklimat pada Selasa ini daripada kementerian berkenaan, saya difahamkan kementerian telah menyusun program lima tahun dan pelbagai usaha telah dirancang untuk majukan Sabah,” katanya.
Menurutnya antara projek utama yang akan dilakukan ialah mewujudkan Pusat Sains Negeri Sabah yang mendapat bantuan daripada kerajaan pusat.
– BERNAMA