KUSKOP Kemuka Syor Peruntukan Lebih Besar Untuk INSKEN

KUSKOP Kemuka Syor Peruntukan Lebih Besar Untuk INSKEN

0
SHARE
Ewon
Ewon dalam satu sidang media selepas Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023 di Hotel Tenera ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

BANGI, SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengemukakan syor supaya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) diberikan peruntukan lebih besar dalam Bajet Negara 2024.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi membolehkan INSKEN melaksanakan lebih banyak program bimbingan keusahawanan di seluruh negara pada tahun depan.

“Pada tahun ini, INSKEN diperuntukkan sejumlah RM10 juta dan pada pandangan saya, sekurang-kurangnya jumlah peruntukan itu digandakan dalam Bajet 2024, kerana INSKEN telah membuka pejabat perkhidmatan di Sabah dan Sarawak.

“Ini bererti keperluan untuk INSKEN melatih, membimbing atau membangunkan usahawan bukan hanya di Semenanjung tetapi juga di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, memang ada keperluan yang besar untuk dana dan bajet yang lebih besar disalurkan kepada INSKEN. Ini kita akan cadangkan kepada Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023, di Hotel Tenera, Bangi, di sini, malam tadi.

Ewon berkata, cadangan supaya peruntukan itu ditambah turut dikemukakan oleh wakil-wakil persatuan dan usahawan dalam Dialog Belanjawan 2024 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Antara cadangan pemain-pemain industri seperti persatuan, dewan perniagana, koperasi dan usahawan dalam dialog itu ialah peruntukan lebih besar disediakan kepada INSKEN bagi membolehkan agensi itu melaksanakan lebih banyak program keusahawanan pada tahun hadapan.

“Saya juga akan menyatakan pandangan keperluan ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan,” katanya.

Ewon berkata, bagi membantu usahawan-usahawan bimbingan INSKEN mengembangkan lagi perniagaan mereka, agensi-agensi lain di bawah KUSKOP akan turut membantu memberikan pembiayaan.

“Agensi-agensi lain di bawah kementerian yang terlibat memberi atau menawarkan pembiayaan seperti Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) atau Pernas bersedia memberikan pembiayaan sekiranya usahawan memerlukan modal tambahan mengembangkan perniagaan sedia ada mereka,” katanya.

Mengenai progam itu, Ewon berkata, Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Start-Up Coaching (STC) 2023 yang disertai 135 usahawan berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan RM2.6 juta dan mencipta 192 peluang pekerjaan baharu.

“Selain itu, seramai 12 usahawan yang berjaya meningkatkan hasil jualan berjaya bertukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dimana nilai purata jualan selepas menamatkan program adalah sebanyak RM400,000.

“Saya berbangga dengan pencapaian ini dan berharap peruntukan lebih besar disalurkan kepada INSKEN bagi membolehkan lebih ramai usahwan mikro dibangunkan melalui program-program seumpama ini,” katanya.