KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, mengakui bahawa Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri yang paling kerap turun ke Sabah sejak memegang jawatan, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu dan keperluan rakyat Sabah.
Hajiji berkata, sokongan kuat daripada Kerajaan Persekutuan telah membawa banyak peruntukan penting ke negeri ini.
Jelasnya, termasuklah dalam sektor pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesejahteraan rakyat dan penyelesaian isu-isu tertunggak yang telah lama membebankan masyarakat.
Menurut beliau, hubungan kukuh antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan berjalan lancar serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah.
Dalam suasana Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah, Hajiji menegaskan bahawa pengundi perlu memilih calon dan kerajaan yang mampu mengekalkan hubungan baik dengan Persekutuan bagi memastikan pembangunan tidak terganggu.
“Inilah masa untuk membuat keputusan yang bijak demi masa depan Sabah tercinta,” katanya.






