KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengisytiharkan 29 November 2025 (Sabtu) sebagai Hari Pelepasan Tambahan bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17.
Pengisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 9 Ordinan Hari Pelepasan, Bab 56, melalui Warta Kerajaan Sabah Bil. LXXXI No. 50 yang dikeluarkan semalam.
Penetapan tarikh tersebut dimaklumkan dengan kuasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong.
Menurut warta berkenaan, kerajaan negeri menilai kepentingan memastikan proses pengundian berjalan lancar tanpa menghalang urusan kerja rakyat.
Pengisytiharan cuti khas ini diharap dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi serta memberi ruang kepada pengundi pulang ke kawasan masing-masing dengan lebih selesa.
Perintah tersebut turut menjelaskan bahawa tarikh pelepasan tambahan itu diwartakan mengikut peruntukan Jadual Pertama Ordinan Hari Pelepasan, sekali gus menjadikan 29 November sebagai cuti rasmi tambahan sempena PRU DUN Sabah.
Warta berkenaan menyatakan bahawa pengisytiharan itu dibuat pada 24 November 2025, dan berkuat kuasa serta-merta.
Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat Sabah untuk menggunakan cuti khas ini dengan sebaiknya bagi menunaikan tanggungjawab demi masa depan Sabah.






