Sawit Kinabalu Lancar Buletin Integriti, Perkukuh Budaya Tadbir Urus

Sawit Kinabalu Lancar Buletin Integriti, Perkukuh Budaya Tadbir Urus

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu (SKG) melancarkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 sebagai inisiatif memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan warga kerja, sekali gus memperhebat usaha pencegahan rasuah di seluruh organisasi.

Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, pembudayaan integriti perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan organisasi bagi memastikan syarikat terus berkembang secara mampan serta mengekalkan kepercayaan rakyat dan pihak berkepentingan.

“Pembudayaan integriti perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan organisasi demi memastikan syarikat terus berkembang secara mampan serta mendapat kepercayaan rakyat dan pihak berkepentingan,” katanya di sini, hari ini.

Sebagai simbol komitmen itu, Hazem menyerahkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam sebagai makluman mengenai usaha berterusan SKG memperkukuh integriti, tadbir urus dan ketelusan sebagai antara tonggak utama pengurusan syarikat.

Buletin berkenaan diterbitkan sebagai platform rasmi untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja mengenai kepentingan integriti, pematuhan serta governans, di samping mengetengahkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu.

Turut hadir pada sesi penyerahan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Victor Ationg, bersama wakil Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, Hajiji menyambut baik penerbitan buletin berkenaan dan berharap Kumpulan Sawit Kinabalu terus memperkukuh pelaksanaan program integriti serta pencegahan rasuah, sekali gus menjadi penanda aras kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah dalam mengamalkan budaya kerja yang beretika, telus dan berakauntabiliti.

Penerbitan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan Sawit Kinabalu untuk menjadikan integriti bukan sekadar dasar organisasi, tetapi budaya kerja yang diterapkan secara menyeluruh dalam usaha memacu kecemerlangan serta kelestarian syarikat.