Kerajaan Sabah Sangkal Dakwaan Shafie, Penukaran Deposit RM200 Juta SDBank Sebagai ‘Bailout’

Kerajaan Sabah Sangkal Dakwaan Shafie, Penukaran Deposit RM200 Juta SDBank Sebagai ‘Bailout’

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menolak dakwaan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran RM200 juta deposit tetap kerajaan negeri dalam Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) merupakan tindakan menyelamatkan bank berkenaan.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, langkah itu bukan suntikan dana baharu sebaliknya penstrukturan semula dana sedia ada dalam SDBank bagi mengukuhkan kedudukan modal bank tersebut.

Beliau berkata, melalui penukaran itu, kerajaan negeri akan menerima dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus atau kira-kira RM6.3 juta.

Ini bukan bailout, tetapi pengurusan risiko kewangan yang berhemah dan bertanggungjawab. Membiarkan SDBank gagal akan mendedahkan kerajaan negeri kepada kira-kira RM3 bilion liabiliti termasuk bon tertunggak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ishak berkata, sejak separuh kedua 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah melaksanakan program transformasi termasuk menangani kelemahan tadbir urus, mengiktiraf kemerosotan aset lama serta meningkatkan ketelusan kewangan.

Beliau berkata, walaupun langkah itu menyebabkan kerugian jangka pendek, ia membolehkan kedudukan kewangan bank dipaparkan dengan lebih tepat, manakala instrumen hutang SDBank kekal diberi penarafan AA1/Stable/P1 oleh RAM Ratings.

Menurutnya, sejak Julai 2023, pengurusan baharu SDBank berjaya mendapatkan semula kira-kira RM3.3 bilion tunai daripada pinjaman tidak berbayar (NPL), berbanding hanya RM260 juta kutipan semasa pentadbiran Shafie selama dua tahun.

Ishak turut menolak dakwaan bahawa penyusunan semula Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) merupakan satu lagi bentuk bailout, sambil berkata langkah itu telah menjadikan syarikat berkenaan bebas hutang dan lebih kukuh dari segi kewangan.

Beliau berkata, penstrukturan termasuk penerbitan Sukuk Wakalah RM900 juta serta pemindahan pegangan 10 peratus SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy telah memelihara aset strategik negeri dan menjamin hasil jangka panjang.

Mengenai dakwaan kerajaan mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding perkhidmatan awam, Ishak berkata peruntukan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan turut melibatkan projek seperti loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

“Tiada penerima swasta. SDBank, SIP dan SMJ Energy semuanya dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus mengambil keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kewangan Sabah, aset strategik negeri dan kepentingan rakyat dalam jangka panjang.