KOTA KINABALU: Penangguhan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan 2024 (Akta 860) di Dewan Undangan Negeri pada Rabu kembali menimbulkan persoalan asas, iaitu sama ada Sabah dirunding atau sekadar dimaklumkan sebelum kelulusan akta.
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (GRS-Tamparuli) mempersoalkan sama ada kerajaan negeri pernah memberi persetujuan terhadap akta tersebut, dan menyokong penangguhannya jika Sabah tidak dirujuk.
Beliau berkata amalan meluluskan undang-undang Persekutuan tanpa persetujuan negeri bukan perkara baharu.
Namun, kenyataan itu ditegur Speaker Datuk Seri Kadzim M Yahya sebagai terlalu umum.
Madius kemudian menamakan pindaan Perkara 122A (1994), Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012 sebagai contoh.
Kadzim membalas dengan mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Sabah ketika itu.
Madius berkata isu ketidakpuasan hati pada masa lalu lazimnya hanya disarankan untuk dibawa ke mahkamah.
“Ini pengajaran kepada Kerajaan Persekutuan — rujuk negeri dahulu,” katanya.
Terdahulu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai (GRS-Kiulu), berkata penangguhan Akta 860 bertujuan memastikan perlindungan perlembagaan Sabah tidak terjejas.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan menyokong sebarang langkah yang boleh menghakis hak Sabah, khususnya autonomi imigresen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk kuasa Jabatan Imigresen Sabah mengawal pintu masuk dan mengeluarkan notis Not-To-Land (NTL).






