KOTA KINABALU: Sabah melangkah ke hadapan dalam memperkemaskan pengurusan harta pusaka orang Islam apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap EXCO Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, RUU itu menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh berasaskan hukum syarak.
Menurutnya, undang-undang berkenaan memberi panduan lengkap terhadap keseluruhan proses pengurusan pusaka termasuk penentuan waris, pelunasan hutang, pelaksanaan wasiat serta pembahagian faraid.
“Pengurusan harta pusaka bukan sekadar pembahagian harta, tetapi merupakan tuntutan fardu kifayah yang melibatkan hak si mati, waris dan tuntutan agama,” katanya ketika ucapan penggulungan di persidangan DUN Sabah pada Rabu.
Beliau berkata, RUU itu juga menggalakkan umat Islam merancang harta lebih awal melalui instrumen seperti hibah dan wasiat bagi memastikan urusan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Pada persidangan sama, DUN Sabah turut meluluskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 bagi memperkukuhkan institusi berkenaan melalui kerangka perundangan yang lebih moden dan tersusun.
Mohd Arifin berkata, pembaharuan itu perlu memandangkan enakmen sedia ada telah diguna pakai sejak 1992.
“RUU ini bukan bertujuan mengubah atau menghapuskan adat, sebaliknya memperkemaskan pentadbiran keadilan adat agar lebih teratur, adil dan diyakini masyarakat,” katanya.






