
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) hari ini (13 Sept) yang dijadualkan pada pukul 5 petang ini di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.
MoU tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua Parti PH iaitu Dato’ Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).
Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil kerajaan dan PH memberitahu, semua pihak telah bersetuju bahawa MoU itu adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
Menurutnya, ini demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara ‘dwi-partisan’.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban…
“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata kenyataan itu.
MoU berkenaan akan diwakili oleh LIMA (5) wakil Kerajaan iaitu Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli; Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia; Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan; Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Manakala, Pihak Pembangkang di wakili oleh Setiausaha Agung PKR; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah; Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP; Anthony Loke Siew Fook , Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR; Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Justeru, langkah bersetuju Pihak Pembangkang untuk menandatangani MOU tersebut juga memperlihatkan kesediaan mereka bersetuju dengan ketiadaan undi percaya yang sepatutnya dibawa pada sidang kali ini.
Ini juga sekaligus menunjukkan mereka akhirnya akur dan tunduk kepada kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini.
Dalam pada itu, Agenda Daily turut melaporkan bahawa Pihak Pembangkang berkemungkinan juga akan menyokong Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker yang baharu nanti.
Sebelum ini, Pihak Pembangkang mendedahkan bersetuju untuk membincangkan sebuah MOU dengan kerajaan bawah pentadbiran Ismail Sabri dan bukan bersetuju dengan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA).
MOU itu termasuk cadangan tambahan kepada TUJUH (7) reformasi yang diumum Ismail Sabri baru-baru ini.
Pembangkang dan pihak wakil kerajaan membincangkan perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik COVID-19.