KOTA MARUDU: Seramai 50 individu diperiksa dalam Op Selamat 26 yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu di Jalan Sumbilingon, di sini, malam Sabtu lalu, dengan beberapa suspek ditahan serta cecair disyaki air ketum dirampas.
Operasi khas yang bermula kira-kira jam 11 malam pada 21 Mac itu diketuai Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Julina Samuel bersama anggota BSPT IPD Kota Marudu.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 20 kenderaan diperiksa melibatkan dua motokar, empat motosikal dan 14 kenderaan pacuan empat roda.
Hasil pemeriksaan sekitar jam 12.30 tengah malam, polis mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya membabitkan penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan menemukan satu kotak polisterin mengandungi empat botol minuman berisi cecair hijau disyaki air ketum dengan anggaran 1,500 mililiter setiap satu.
Selain itu, pemeriksaan ke atas kenderaan lain turut menemukan satu botol air mineral dan satu botol minuman ringan yang juga mengandungi cecair disyaki bahan sama.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Marudu dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan serta penyalahgunaan bahan terlarang.
“BSPT IPD Kota Marudu akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Kesemua suspek yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Marudu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Polis turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta penyalahgunaan bahan terlarang, dan menegaskan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap pesalah.






