Lelaki Rungus Hilang Sejak 16 Mac, Tidak Pulang Dari Menoreh Getah

Lelaki Rungus Hilang Sejak 16 Mac, Tidak Pulang Dari Menoreh Getah

0
SHARE

KOTA MARUDU: Seorang lelaki berbangsa Rungus dilaporkan hilang sejak 16 Mac lalu selepas keluar ke kebun untuk menoreh getah di Kampung Masuit, daerah Pitas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt. Simiun Lomudin berkata, mangsa dikenali sebagai Syivience Mogudal, 52, keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang tanpa membawa telefon bimbit.

Menurutnya, mangsa kebiasaannya akan bermalam di rumah kebun selama beberapa hari, namun kali ini tidak pulang ke rumah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.

“Kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 18 Mac 2026 oleh ahli keluarga (pakcik mangsa) yang ternampak mangsa sedang menebas semak dan menoreh getah di kebun sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga kini,” katanya dalam satu hebahan media di sini, semalam.

Beliau berkata, usaha pencarian oleh ahli keluarga telah dijalankan, namun mangsa masih belum ditemui setakat ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta untuk tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amat dihargai dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.

Syivience Mogudal merupakan seorang pekebun dan berasal dari Kampung Masuit, Pitas. Hebahan kehilangan itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu pada 22 Mac 2026.