Motosikal, ‘Aircond’ Ikut Musnah Dalam Kebakaran Gerai Jual Mercun di Taman Pekaka

Motosikal, ‘Aircond’ Ikut Musnah Dalam Kebakaran Gerai Jual Mercun di Taman Pekaka

0
SHARE

NIBONG TEBAL: Sebuah motosikal dan tiga unit penghawa dingin (aircond) antara yang turut musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah gerai menjual mercun di Taman Pekaka, di sini, pada tengah malam Hari Raya pertama.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.05 tengah malam sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah gerai menjual mercun berkeluasan kira-kira 100 kaki persegi terbakar sepenuhnya, selain kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 serta tiga unit penghawa dingin yang diletakkan di bahagian luar rumah berhampiran.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 12.44 pagi sebelum operasi ditamatkan sekitar pukul 1.25 pagi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes tersebut telah diserahkan kepada Unit Siasatan Kebakaran bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, memetik laporan Utusan, satu rakaman video kejadian berkenaan turut tular di media sosial yang memaparkan pelanggan di sebuah restoran berhampiran bertempiaran lari bagi mengelak daripada terkena percikan api yang memasuki premis berkenaan.