PUTRAJAYA, SELANGOR – Empat Buggati Veyron telah dirampas pihak berkuasa Jerman baru-baru ini dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga individu, salah seorang daripadanya ialah Jho Low.
Difahamkan, penyiasat kes percaya salah satu ‘supercar’ tersebut itu milik ahli perniagaan yang diburu itu.
“Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa Jerman, maka syak wasangka penyiasat boleh disahkan,” kata sumber kepada The Star.
Sumber itu berkata, tiga lagi unit kereta super itu dikaitkan dengan dua individu lain yang berada di bawah pengawasan SPRM. Ia tidak mendedahkan identiti dua individu lain tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu telah pun menulis surat kepada pihak berkuasa Jerman untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rampasan terbabit.
“Kami berharap mendapat kerjasama mereka. Sebarang maklumat adalah berkaitan siasatan kami,” katanya pada Selasa.
Azam berkata, SPRM telah menghantar permintaan maklumat pada 26 Oktober 2022 mengenai pembelian kenderaan mewah itu, dipercayai dibuat menggunakan bon daripada 1MDB.
Bagaimanapun, SPRM tidak mendapat sebarang maklum balas.
Menurut akhbar Jerman Bild, kereta terbabit telah dirampas minggu lalu dari kemudahan simpanan peribadi.
“Mereka dikesan dan disita oleh Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” lapor Bild.
Ia mendakwa mengetahui daripada “kalangan kehakiman” bahawa kereta itu dikaitkan dengan skandal 1MDB di Malaysia.
Kereta-kereta itu disita selepas permintaan bantuan daripada Pejabat Pendakwa Persekutuan Switzerland di Bern.
Jurucakap pendakwa Switzerland berkata ia dikaitkan dengan prosiding jenayah yang sedang berjalan.