LABUAN: Seorang individu Islam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat dalam Operasi Noda yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini
JAWI Labuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi penguatkuasaan bersepadu itu membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Imigresen Labuan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan serta Jabatan Mufti.
Hasil operasi berkenaan, seorang individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) berkaitan kesalahan khalwat.
Menurut JAWI Labuan, operasi itu bertujuan mengesan serta mengambil tindakan terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah, selain membolehkan agensi terlibat menjalankan pemeriksaan dan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Mengikut Seksyen 27 Akta 559, individu yang didapati berada bersama lelaki atau perempuan yang bukan pasangan atau mahram di tempat terselindung atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.






