KOTA KINABALU: Pemaju perumahan dan hartanah di Sabah digesa mengutamakan kemampuan rakyat memiliki rumah, pembangunan mampan serta perancangan bandar lebih teratur bagi memastikan pembangunan sektor itu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tiga keutamaan berkenaan perlu menjadi asas perancangan pembangunan masa depan bagi memastikan pertumbuhan industri hartanah seimbang dengan keperluan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Katanya, pemaju perlu mengguna pakai reka bentuk dan kaedah pembinaan yang cekap menggunakan sumber, mengurangkan kos operasi jangka panjang serta mengambil kira keperluan alam sekitar Sabah.
“Pemaju juga perlu memastikan penggunaan tanah yang cekap serta kemudahan pengangkutan, utiliti dan kemudahan awam yang mencukupi bagi menyokong pembangunan baharu.
“Selain itu, pemaju perlu bekerjasama dengan Kerajaan untuk mencari pendekatan praktikal bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan isi rumah berpendapatan sederhana, di samping memastikan projek yang dilaksanakan kekal berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri m Masidi Manjun, pada Majlis Malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi industri hartanah, termasuk peningkatan kos pembinaan dan pembiayaan, gangguan rantaian bekalan serta kos pengangkutan bahan binaan ke Sabah.
Menurutnya, ketidaktentuan akibat proses kelulusan yang mengambil masa panjang atau syarat yang kurang jelas, selain kekangan bekalan elektrik, air dan jalan raya, turut menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan baharu.
Katanya, peningkatan kos pembinaan berpotensi menyebabkan harga rumah semakin tidak mampu milik, sekali gus menyukarkan lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri.
“Apabila aktiviti pembangunan menjadi perlahan, kontraktor dan pembekal menerima lebih sedikit kerja, peluang pekerjaan berkurangan dan pelaburan mungkin ditangguhkan.
“Apabila peningkatan kos dipindahkan kepada pembeli, semakin ramai keluarga menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah. Justeru, menangani cabaran ini bukan sahaja penting kepada industri, tetapi juga kepada ekonomi Sabah secara keseluruhan dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak berkepentingan industri bagi meningkatkan kecekapan serta kejelasan proses kelulusan, memperkukuh infrastruktur asas dan mengenal pasti halangan yang boleh diselesaikan tanpa menjejaskan keselamatan, piawaian alam sekitar atau kepentingan awam.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan dan pihak industri amat penting kerana kedua-dua pihak tidak mampu mencapai matlamat pembangunan berkenaan secara bersendirian.
Katanya, dialog terbuka, perancangan teliti dan kesediaan menyesuaikan diri dengan perubahan mampu mewujudkan persekitaran pembangunan lebih jelas serta terjamin, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong perniagaan tempatan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pembangunan hartanah bukan sekadar menyediakan rumah dan premis perniagaan, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan profesional, pembekalan, pengangkutan dan pembiayaan.
Menurutnya, pembangunan perumahan, pusat komersial dan kemudahan perindustrian yang dirancang dengan baik turut membantu menarik pelaburan serta membolehkan perniagaan berkembang.
Beliau berkata, sektor hartanah akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan infrastruktur.
Hajiji turut mengiktiraf SHAREDA sebagai rakan strategik penting kerajaan negeri dalam mengetengahkan pandangan serta cadangan praktikal berkaitan pembangunan, perancangan bandar dan perumahan.
Beliau menggesa SHAREDA dan semua ahlinya terus mengekalkan standard integriti, inovasi dan kualiti yang tinggi bagi membangunkan komuniti lebih kukuh serta ekonomi yang berdaya tahan untuk generasi akan datang.






