TAWAU: Pelbagai agensi, jabatan, pemimpin komuniti serta syarikat swasta dipelawa untuk bersama-sama mencapai agenda reformasi Kerajaan Perpaduan.
Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam satu kenyataan berkata, reformasi tersebut menekankan sinergi antara Kerajaan, sektor swasta dan rakyat untuk memperkukuh pembangunan mampan, perpaduan nasional dan tadbir urus negara yang berkesan.
Awal pagi tadi, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Ketua Pegawai ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Induk Program Kampung Angkat MADANI di Bilik Persidangan, Majlis Perbandaran Tawau.
“Tujuan mesyuarat membincangkan pelaksanaan projek-projek melibatkan kemudahan infrastruktur dan program kemasyarakatan yang akan dilaksanakan bagi kampung tersebut dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu.
Pada sesi Belanjawan 2024, YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan inisiatif Kampung Angkat MADANI bagi merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet.
“Program ini merupakan pendekatan berimpak tinggi secara Whole-of-Government (WoG) yang menyentuh denyut nadi rakyat bagi melengkapi keperluan asas infrastruktur setiap kampung yang terpilih.
Terdahulu, Nizam dan Dr. Jamaluddin turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Pang Pick Lim @ Joseph di Pejabat Presiden, Majlis Perbandaran Tawau.
Hadir sama, Timbalan Pengarah ICU JPM, Siti Robani Yusof; Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCOM, Georgie Abas; Ketua Staf Bahagian Perisikan, SAC Azli Amin; Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetian ESSCOM, Imelda Godon; YDH Supt Champin Piuh, mewakili Ketua Polis Daerah Tawau serta Pemimpin Masyarakat, Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM, UPPM N.68 Apas, Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, KEMAS, JIM, JKR Sabah, KKDW, SESB, SKMM, GiatMARA Daerah Tawau.