Seorang Wanita Dibelasah Teman Lelaki Kerana Enggan Belikan Rokok Dan Makanan

Seorang Wanita Dibelasah Teman Lelaki Kerana Enggan Belikan Rokok Dan Makanan

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TUMPAT, KELANTAN – Seorang lelaki membelasah teruk teman wanitanya dengan menggunakan topi keledar selepas wanita itu enggan membelikan makanan dan rokok, di sini pada Jumaat baru-baru ini.

Menurut mangsa yang berusia 38 tahun itu, dia turut disepak di peha kanan dan kiri serta dicakar pada muka termasuklah alami luka pada pergelangan tangan akibat dibelasah teman lelakinya itu.

Memetik laporan BH Online, kejadian berlaku jam 2 petang semalam di Kampung Tanjung Che Lat di sini apabila mangsa diminta datang ke rumah suspek sebelum berlaku perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, suspek berusia 30 tahun dikatakan bercinta dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

“Ketika mangsa berada di luar pagar rumah suspek, berlaku selisih faham antara mereka menyebabkan lelaki itu menyepak beberapa kali di bahagian peha kanan dan kiri teman wanitanya…

“Mangsa juga mendakwa dipukul dengan menggunakan topi keledar di lengan kiri sebelum diheret dan turut dicakar di bahagian muka serta pergelangan tangan kanan untuk membawa wanita itu masuk ke halaman hadapan rumahnya.

“Punca perselisihan faham berlaku adalah disebabkan mangsa enggan membeli makanan dan rokok seperti diminta suspek yang mengadu kelaparan,” katanya kepada BH semalam.

Mohd Azmir berkata, mangsa mendakwa teman lelakinya seorang panas baran serta penagih dadah.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat jam 4.15 petang semalam.

“Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.