Zara Kurung Diri Dalam Tandas Pada Malam 15 Julai – Saksi

Zara Kurung Diri Dalam Tandas Pada Malam 15 Julai – Saksi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Prosiding hari ke-21 Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan keterangan penting daripada seorang saksi kanak-kanak yang juga pelajar senior di sekolah sama dengan arwah.

Saksi yang dikenali sebagai Deponen ke-20 memberitahu mahkamah bahawa pada malam 15 Julai 2025, beliau dimaklumkan oleh pelajar lain bahawa Zara telah dipanggil oleh beberapa pelajar senior daripada kumpulan Circle 19 untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain. 

Menurut kenyataan pasukan peguam keluarga Zara hari ini, saksi memaklumkan bahawa kejadian itu diketahui ramai penghuni asrama dan mencetuskan kekecohan.

Saksi berkata, beliau sendiri melihat suasana tegang di koridor asrama sekitar jam 11 malam, termasuk mendengar seorang pelajar junior mengeluarkan kata-kata kesat seperti “Itulah mencuri lagi, pukimak anjing” dengan nada marah dan jelas. 

Beliau turut dimaklumkan bahawa pelajar junior lain menyelongkar barang-barang milik Zara pada malam kejadian.

Mengejutkan, saksi mendedahkan bahawa beliau ada mendengar daripada pelajar lain bahawa Zara berkurung di dalam tandas pada malam tersebut, namun tidak mengetahui waktu tepat kejadian.

Sekitar jam 3.50 pagi, saksi dikejutkan oleh rakan asrama yang memaklumkan bahawa seorang pelajar tidak sedarkan diri telah ditemui dan kemudian disahkan sebagai Zara.

Saksi turut menjelaskan bahawa Zara sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil oleh pelajar kumpulan Circle 19 dan sering kelihatan sedih serta tertekan selepas insiden berkenaan.

Saksi mengakui pernah memujuk dan meminta maaf kepada Zara bagi pihak pelajar senior kerana kasihan melihat keadaannya.

Beliau juga mengesahkan kumpulan Circle 19 merupakan kumpulan pelajar senior terbesar di sekolah dan mempunyai ketua tersendiri yang sering memanggil pelajar junior apabila berlaku kehilangan barang.

Bagaimanapun, saksi menegaskan beliau tidak pernah menyaksikan sebarang insiden pukul terhadap Zara secara langsung.

Prosiding hari ini turut dimaklumkan bahawa pasukan Pemeriksa Dokumen Forensik yang diketuai oleh Madam Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Shuhaila Mat Desa masih meneruskan pemeriksaan hari kedua mereka sehingga 14 Oktober 2025.

Pasukan guaman yang mewakili ibu Allahyarhamah, Puan Noraidah Lamat, turut mengingatkan semua pihak termasuk media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau ulasan yang boleh dianggap subjudis terhadap prosiding yang masih berjalan.