Kaunter Perkhidmatan Pelanggan SESB Telah Mula Dibuka Hari Ini

Kaunter Perkhidmatan Pelanggan SESB Telah Mula Dibuka Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kaunter perkhidmatan pelanggan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) negeri ini dan Labuan telah mula dibuka semula hari ini (Isnin) dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, dalam kenyataan hari ini, berkata  pembukaan semula kaunter itu sejajar dengan keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kaunter perkhidmatan pelanggan termasuklah kaunter pandu lalu dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.15 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat…

“Pejabat Zon SESB seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kudat, Tuaran, Beaufort, Keningau dan Labuan akan turut beroperasi pada hari Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari seperti keadaan sebelum PKP bermula,” katanya.

Beliau yang dipetik Bernama berkata, kaunter tambahan juga akan dibuka di perkarangan pejabat SESB bagi mereka yang ingin bertanyakan mengenai bil-bil elektrik serta pengurusan pembayaran tunggakan.

Sementara itu Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman, menerusi kenyataan, berasingan mengumumkan pembukaan semula Terminal Bas Kota Kinabalu Sentral dan Terminal Bas Utara Inanam bermula hari ini.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor pada Sabtu lepas, yang membenarkan semula rentas negeri dan daerah serta pembukaan semula sektor pengangkutan negeri Sabah.

“Orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan negeri Sabah sepanjang tempoh PKPB yang masih berkuat kuasa,” katanya.