Papar Turut Warnai Festival Bajau Samah Ahad Ini

Papar Turut Warnai Festival Bajau Samah Ahad Ini

0
SHARE
Bajau
Baslizatun Asania (dua dari kanan) bersama semua peserta Pertandingan Ratu Serimpak ( Sumber Foto: Ihsan DARMA Team )

KOTA KINABALU, SABAH – Mulai Ahad ini, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah Kampung Lok Batik, Tuaran sekali lagi menjadi lokasi Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah dan kali ini dijangka 10,000 orang akan memeriahkan festival empat hari itu.

Selain mengangkat martabat seni dan budaya etnik kedua terbesar di Sabah, festival tersebut bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu depan.

Penyertaan Daerah Papar

Pegawai Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah mengesahkan daerah tersebut akan menyertai tiga acara iaitu Pertandingan Ratu Serimpak, Pertandingan Soromas dan Pertandingan Betitik masing-masing diwakili oleh Baslizatun Asania Alli, Jeschira Jeffry dan Persatuan Kesenian Dopo (Pekedo).

“Pemilihan wakil dibuat menerusi Pertandingan Ratu Serimpak, Pertandingan Soromas dan Pertandingan Betitik Peringkat Daerah Papar 2024 di Kampung Tengah Kinarut, Papar yang dimeriahkan hampir 1,000 orang,” katanya.

Menurut beliau, daripada empat pasukan berentap dalam pertandingan betitik, Persatuan Kesenian Dopo (Pekedo), Kampung Sungai Padang dinobat sebagai juara. Manakala, naib juara dimenangi pasukan Anak Kedidi Bedenakan Kampung Anak Kinarut, diikuti Seri Peranggi Kampung Beringgis dan Kitai Bedenakan Kampung Bundusan masing-masing di tempat ketiga dan saguhati.

Sementara itu, tiga juri Pertandingan Soromas yang dilantik memilih Jeschira Jeffry yang mendendangkan lagu “Kasih Sampai Atainu” nyanyian asal Azhlina Amir sebagai juara menewaskan lima peserta lain. Kemenangan itu sekali gus melayakkan beliau beraksi di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kg. Lok Batik, Tuaran.

Dalam pertandingan tersebut, naib juara diraih Leila Yusof menerusi lagu “Sampai Atei” nyanyian asal Ahmad Dullah, disusuli Asneh Asam dengan lagu “Dendo Tudung Rumbai” (Rusdi Ali), Rosmawati Jumat dengan “Rengin” (Salmah Jafly), Edrus Ag. Salleh “Kau Tiupi Ku” (Amri Abu Bakar) dan Azmawie Sarjan “Ungus Sebayan” (Aziz Umar).

Bagi Pertandingan Ratu Serimpak pula, kematangan dan kepetahan berinteraksi dalam bahasa Bajau Samah di atas pentas meyakinkan juri untuk menamakan peserta tuan rumah, Baslizatun Asania Alli dari Kampung Tengah Kinarut sebagai wakil Daerah Papar ke peringkat negeri.

Manakala, Nur Hikmah Nabila Majusim dari Kampung Pengalat Besar (naib juara), Sumarni Selamat dari Kampung Kawang (ketiga) dan Nur Farahain Ali dari Kampung Sabuk Kinarut (saguhati).

Pada majlis itu, Mohd Fuad mengiringi Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Dr. Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.

Turut hadir Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Roslie Ibrahim, Ketua Polis Daerah Papar, Superitenden Kamaruddin Ambo Saka dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Fahzean Mohiddin.

Memelihara Kebudayaan, Bahasa

Armizan yang ditemui media dalam majlis terbabit berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memastikan kebudayaan dan bahasa Bajau Samah terus terpelihara.

“Kita tahu di seluruh dunia, kita berhadapan dengan kepupusan budaya, identiti dan bahasa.

“Masyarakat majmuk khususnya di Sabah mempunyai puluhan suku kaum yang menjadi kekuatan kita maka, menjadi tuntutan kepada kita untuk memastikan kita dapat memelihara kebudayaan dan bahasa rumpun Bajau Samah.

“Jadi, melalui pertandingan-pertandingan begini, bukan hanya kita dapat memastikan aspek pemeliharaan itu dalam bentuk dokumentasi boleh dibaca tetapi kita mahu rakyat kita di seluruh pelosok dapat melihat, mendengar dan juga memaknai bahasa dan budaya adat tradisi Bajau Samah.

“Objektif pertandingan ini tidak lain dan tidak bukan untuk kita memastikan kita dapat memelihara dan menjaga kebudayaan dan bahasa rumpun Bajau Samah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar memaklumkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang dipilih menjadi tuan rumah pada tahun ini selepas penganjurannya di DUN Pantai Manis tahun lepas.

Mampu Beri Saingan, Mewarnai Festival

Dalam pada itu, Ghulamhaidar menyifatkan wakil-wakil yang terpilih menerusi pertandingan yang dijalankan itu bertepatan dengan jangkaan beliau.

Malah, beliau optimis penglibatan Daerah Papar mampu memberi memberi saingan sengit kepada peserta dari daerah lain, di samping dapat mewarnai sambutan festival berkenaan.

Dek minat serta bakatnya dalam bidang nyanyian, Ghulamhaidar sejak zaman mudanya dikenali dengan jolokan ‘DJ Dave’ dan gaya persembahannya amat diminati rakan-taulan serta masyarakat di pelbagai peringkat umur.

Seni, Budaya Pemangkin Perpaduan

Usaha berterusan oleh kerajaan untuk mengangkat kebudayaan rumpun Bajau Samah ini diharap menarik minat golongan muda untuk mempelajari dan mendalami seni budaya dalam etnik itu sendiri agar ia kekal dan tidak hilang ditelan zaman, kerana kalau bukan kita siapa lagi? Mangan nia’ mangan asal jo kurung-kurung. — JABATAN PENERANGAN SABAH