Menteri KTP Mulakan Program Lawatan Kembara PBT Seluruh Sabah

Menteri KTP Mulakan Program Lawatan Kembara PBT Seluruh Sabah

0
SHARE
Joachim (tiga dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Pegawai Daerah Tenom, Mas Syazwan Masood sambil disaksikan oleh Isnin (dua dari kiri), Dr. Jamili (kanan) dan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin (kiri).

KENINGAU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KTP), Datuk Seri Joachim Gunsalam memulakan Program Lawatan Kembara ke 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah.

Siri pertama Lawatan Kembara beliau bersama Kementerian melibatkan Majlis Daerah Tenom, Majlis Daerah Nabawan, Majlis Keningau dan Majlis Daerah Tambunan yang diadakan selama dua hari.

“Saya bersama pihak Kementerian akan melawat secara rasmi ke semua 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah,”katanya dalam satu kenyataan semasa lawatannya ke Majlis Daerah Keningau, semalam (20 Feb).

Pada hari sebelumnya, beliau telah melawat Majlis Daerah Tenom dan Nabawan.

Berharap akan berkesempatan melawat ke semua PBT yang ada di Sabah pada tahun ini, Joachim berkata, tujuan utama Lawatan Kembara ini adalah untuk mengenali semua PBT di bawah Kementerian, mengetahui perancangan setiap PBT dan mendengar mengenai kekangan, isu serta cabaran yang dihadapi oleh semua PBT.

Manakala di pihak Kementerian pula, secara khusus atau umumnya untuk membantu semua PBT mencari penyelesaian masalah dan meningkatkan kapasiti mereka (PBT) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat di kawasan.

Sehubungan itu, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, secara lazimnya apabila sesebuah daerah itu dinaik taraf, pihak kementerian akan mewujudkan Majlis Daerah (PBT) contohnya baru-baru ini dengan penaiktarafan status daerah Kecil Sook kepada daerah penuh.

“Pewujudan PBT ini adalah supaya perkhidmatan kepada masyarakat menjadi lebih mampan terutama dalam aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya.

“Sebelum dinaik taraf sebagai pejabat daerah, kriteria seperti ini sudah tersusun sedia,” tambahnya.

Selain daripada itu, selepas mendengar taklimat daripada Pegawai Eksekutif, banyak perancangan yang akan dilaksanakan antaranya menaik taraf daerah Keningau dengan mewujudkan Keningau Sentral memandangkan daerah ini terletak di antara daerah Tawau, Kota Kinabalu dengan negara Brunei dan Indonesia.

“Ini adalah sebagai persediaan termasuklah bagi semua daerah yang ada potensi dari segi peningkatan ekonomi dan pembaikan pekan,” jelasnya.