KM HAJIJI SAHKAN KERAJAAN NEGERI TELAH WARTAKAN HARI SABAH

KM HAJIJI SAHKAN KERAJAAN NEGERI TELAH WARTAKAN HARI SABAH

0
SHARE
Hajiji
Hajiji ketika ditemui pemberita ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan kerajaan negeri telah mewartakan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Sabah pada Jun lalu.

Hajiji berkata perkara terbabit diputuskan oleh pihaknya dan ia bertujuan untuk memperingati Hari Sabah sebagai hari yang bersejarah di negeri ini.

“Jadi kerajaan negeri berpendapat ia perlu diwartakan untuk diperingati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi 2024 Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur bertempat di Dewan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hajiji turut menafikan tindakan pihaknya mewartakan Hari Sabah serentak dengan tarikh Hari Kebangsaan bakal menimbulkan kekeliruan dari aspek penganjuran sambutan itu.

“Tidak ada (kekeliruan), kita teruskan perayaan Hari Kebangsaan. Kita dalam satu negara yang sudah merdeka tetapi kalau ada sikit-sikit acara mengenai peringatan Hari Sabah, kita benarkan.

“Tetapi ia (penganjuran aktiviti Hari Sabah) tidak boleh mengganggu program Hari Kebangsaan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, pautan sebuah warta dibuat pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lalu yang memaklumkan mengenai perkara terbabit tular di laman media sosial.

Warta tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan diterbitkan atas perintah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.