
TAWAU, SABAH – Seorang penunggang motosikal menemui ajal ketika cuba memotong di Jalan Lapangan Terbang Tawau, sini, kira-kira pada pukul 10.30 malam Sabtu.
Mangsa lelaki berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi selepas terpelanting.
Ketua Polis Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
“Seorang lelaki pemandu e-hailing berusia 38 tahun yang memandu Perodua Alza, Proton Saga dipandu seorang wanita, 36, termasuk motosikal jenis Honda ditunggang mangsa meninggal dunia.
“Pemandu Alza sedang menuju ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penumpang manakala pemandu Proton Saga bersama seorang penumpang lelaki, 37, datang dari tempat kerja.
“Mangsa datang dari arah yang sama iaitu Lapangan Terbang Tawau dan cuba memotong Proton Saga dengan masuk ke laluan bertentangan.
“Bagaimanapun disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa telah melanggar bahagian hadapan kanan kereta Alza dan merempuh cermin hadapan Proton Saga,” jelasnya.
Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting sejauh 21.6 meter ke bahu kiri jalan dari arah Lapangan Terbang Tawau.
Jasmin berkata pemandu Proton Saga dan penumpangnya serta pemandu e-hailing mengalami kecederaan ringan.
Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





