Pandu Melulu Hingga Ragut Nyawa, Lelaki Dipenjara Lima Tahun, Denda RM20,000

Pandu Melulu Hingga Ragut Nyawa, Lelaki Dipenjara Lima Tahun, Denda RM20,000

0
SHARE

TENOM: Padah memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Tenom, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

“Selain itu, tertuduh turut hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Azmir berkata, pihak polis akan terus mempergiat penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan.

Tegasnya, pemanduan secara melulu dan berbahaya bukan sahaja mengancam nyawa pemandu, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.