Jepun Akan Sumbangkan Vaksin AstraZeneca Kepada Malaysia

Jepun Akan Sumbangkan Vaksin AstraZeneca Kepada Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan Jepun akan menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di Jepun kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand, umum Menteri Luar Motegi Toshimitsu.

Menurut Kedutaan Jepun di Malaysia yang dikeluarkan pada Selasa, menteri itu berkata vaksin akan dihantar mulai Julai, jika keadaan mengizinkan, dan akan segera membuat penyelarasan.

“Berdasarkan pengumuman Menteri Luar hari ini, Kedutaan Jepun di Malaysia akan terus bekerja sama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk menyediakan vaksin kepada rakyat Malaysia…

“Ini bakal menjadi satu lagi lambang persahabatan antara Jepun dan Malaysia,” kata kedutaan dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan Jepun antara yang menghulurkan bantuan kepada Malaysia untuk menangani pandemik COVID-19 termasuk menyumbang peralatan perubatan bernilai kira-kira US$5 juta pada Januari lalu.

Jepun juga telah menghulurkan bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira US$2 juta kepada Malaysia melalui Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Bagi ASEAN, Jepun telah mengusulkan penubuhan “Pusat ASEAN untuk Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit” bertujuan melindungi penduduk di rantau ini dan memberikan sokongan kewangan sebanyak US$50 juta melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF).