KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya beroleh kemenangan apabila menewaskan Thailand 1-0 dalam aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada awal pagi Rabu.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu turut menebus maruah negara selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam baru-baru ini dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.
Kemenangan itu juga menyaksikan skuad negara berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia selepas mengakhiri kempen kali ini di kedudukan ketiga Kumpulan G.
Aksi perlawanan awal pagi tadi menyaksikan Cheng Hoe melakukan tindakan berani dengan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama skuad negara dengan meletakkan Akhyar Rashid dan pemain muda, Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap kiri dan kanan selain daripada memasukkan awal Khairulazhan Khalid, Muhammad Syahmi Safari dan Nazmi Faiz Mansor.
Skuad Harimau Malaya bermula dengan baik apabila berpeluang berada di hadapan menerusi larian daripada Akhyar selepas menerima hantaran daripada Guilherme de Paula pada minit ke-18, namun percubaannya gagal diakhiri dengan jaringan gol.
Aksi meyakinkan daripada Syahmi Safari di posisi pertahanan kiri juga turut menyaksikan ketiadaan La’vere Corbin-Ong yang berdepan penggantungan satu perlawanan tidak begitu dirasai.
Walaupun skuad Gajah Perang turut mengancam kubu negara dan hampir menghukum kealpaan barisan pertahanan dengan beberapa percubaan, namun mereka turut dibayangi dengan ketumpulan jentera serangan untuk mendapatkan gol.
Pada babak separuh masa kedua, Cheng Hoe melakukan dua pertukaran dengan memasukkan semula Safawi Rasid menggantikan Arif Aiman dan Brendan Gan dikeluarkan digantikan oleh Muhammad Syafiq Ahmad.
Tindakan Cheng Hoe memasukkan Safawi membuahkan hasil apabila dia meledak gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-52.
Walaupun Thailand sering kali melakukan beberapa asakan di penghujung babak perlawanan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87, namun percubaan jarak dekat Suphanat melepasi palang gol dan kedudukan 1-0 memihak kepada skuad Harimau Malaya kekal hingga wisel penamat.