KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti, tidak sabar untuk kembali menemui peminat di Malaysia menerusi festival muzik Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di KL Festival Park, pada 7 dan 8 November ini.
Kris Dayanti, 51, berkata hubungan erat yang terjalin dengan peminat tempatan sejak sekian lama menjadikan undangan untuk beraksi dalam festival berkenaan sesuatu yang cukup istimewa buat dirinya.
Menurutnya, festival yang menghimpunkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia itu bukan sahaja menjadi platform persembahan muzik, malah peluang mengeratkan hubungan budaya antara dua negara serumpun.
Beliau turut menyifatkan muzik sebagai bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira sempadan negara, budaya mahupun generasi.
“Saya akan memberikan persembahan terbaik dari segi vokal, penghayatan, tenaga dan interaksi dengan penonton.
“Saya mahu peminat di Malaysia pulang dengan kenangan indah serta merasakan pengalaman menghadiri festival ini benar-benar berbaloi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas persiapan, penyanyi yang popular menerusi lagu Menghitung Hari itu berkata beliau memberi tumpuan kepada latihan vokal, stamina dan penjagaan kesihatan bagi memastikan persembahannya berjalan lancar.
Selain itu, pemilihan lagu, susunan muzik dan interaksi bersama penonton turut diberi perhatian bagi memastikan persembahan bersesuaian dengan suasana festival yang dinamik dan meriah.
Kali terakhir Kris Dayanti mengadakan konsert di Malaysia adalah menerusi Konsert Cinta Nostalgia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2025.
Selain Kris Dayanti, festival itu turut menampilkan barisan artis Indonesia dan Malaysia termasuk Hindia, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Barasuara, Lomba Sihir, Naykilla, Good Morning Everyone, The Alif, Belia Benci Club dan Citykops.
Peminat masih berpeluang mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi www.bbo.events.com.






