TIME ATTACK RAJA TUARAN DI PENTAS RHYTHM OF TUARAN

TIME ATTACK RAJA TUARAN DI PENTAS RHYTHM OF TUARAN

0
SHARE

TUARAN: Time Attack muncul “raja” di pentas Rhythm of Tuaran selepas dinobatkan juara pertandingan yang mengangkat gabungan muzik moden dan tradisional sempena Karnival Tamu Belia Tuaran 3.0.

Kemenangan itu membolehkan Time Attack membawa pulang wang tunai RM7,000, trofi dan sijil, selain melengkapkan kejayaan dengan dua pengiktirafan individu menerusi kategori Drummer Terbaik dan Keyboardist Terbaik.

Rhythm of Tuaran merupakan antara acara tumpuan karnival di Padang Istiadat Pekan Tuaran, yang menghimpunkan kegiatan kesenian, keusahawanan, kesukanan dan komuniti.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Tuaran Youth Town Club (TYTC) di bawah pimpinan Datuk Mohammad Ghazali Hajiji bersama Borneo Event Hunter, dengan kerjasama Pijoe Entertainment.

Berteraskan gabungan rentak moden dan tradisional, pertandingan tersebut memberi ruang kepada kumpulan muzik mengetengahkan kreativiti serta identiti masing-masing, sambil mengangkat bunyi warisan dalam persembahan masa kini.

Kulimpapa Orchestra meraih gelaran naib juara dengan hadiah wang tunai RM5,000, manakala Simfoni Kinabalu menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM3,000. Kedua-dua kumpulan turut menerima trofi dan sijil.

The Borneo Tribe dan PS5 masing-masing menerima hadiah saguhati RM1,500, sementara Pencalang Gumpita serta Fireheat memperoleh RM1,000 setiap kumpulan. Kesemua penerima saguhati turut membawa pulang trofi dan sijil.

Secara keseluruhan, hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 diagihkan kepada tujuh kumpulan berkenaan.

Dalam saingan Anugerah Individu Terbaik SPORTINK, PS5 meraih dua pengiktirafan menerusi kategori Gitaris Terbaik dan Bassist Terbaik, manakala Time Attack memenangi kategori Drummer Terbaik serta Keyboardist Terbaik.

Pengiktirafan Pemain Alat Tradisional Terbaik pula menjadi milik wakil The Borneo Tribe, sementara anugerah Vokal Terbaik diraih wakil Kulimpapa Orchestra.

Pertandingan turut menampilkan barisan juri yang terdiri daripada Mohd Azlan dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Romeo Jaibet dari Kombo RTM Sabah, Andy Flop Poppy, Rich Estranged dan Along Exists.

Andy Flop Poppy mengetuai penjurian peringkat saringan, manakala Along Exists bertindak sebagai ketua juri peringkat akhir.

Daya tarikan Rhythm of Tuaran turut merentas sempadan apabila menerima penyertaan paling jauh dari Brunei, selain penglibatan ahli kumpulan dari Sarawak. Kehadiran mereka memperluas pertemuan bakat dan pertukaran pengalaman antara pemuzik di Borneo.

Bagi Time Attack, kemenangan ini menambah koleksi kejuaraan kumpulan berkenaan yang sebelum ini kerap meraih gelaran juara dalam pelbagai pertandingan muzik di Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh reputasinya dalam arena pertandingan muzik di Borneo.

Penganjuran Rhythm of Tuaran memperlihatkan usaha TYTC bersama Borneo Event Hunter dan Pijoe Entertainment menyediakan pentas kepada bakat muzik, di samping memastikan elemen tradisional terus mendapat tempat dalam kreativiti generasi masa kini.