Tidak Dicalonkan di PRU-17, Razzidin Kekal Setia Bersama STAR

Tidak Dicalonkan di PRU-17, Razzidin Kekal Setia Bersama STAR

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda StarSabah, Razzidin Robert, menerima dengan penuh hormat keputusan parti yang tidak mencalonkannya dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRU-17), sambil menegaskan kesetiaan dan komitmennya untuk terus berkhidmat dalam kepimpinan sayap belia parti itu.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Razzidin merakamkan penghargaan mendalam kepada Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) atas peluang dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai perjalanan bermakna yang membentuk jatidiri perjuangan politiknya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada StarSabah atas peluang dan ruang yang diberikan untuk saya berkhidmat. Ia pengalaman yang amat bermakna dan menjadi bekal dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat,” katanya.

Razzidin turut menyampaikan penghargaan khusus kepada Presiden StarSabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang disifatkannya sebagai pemimpin yang banyak memberi pelajaran, dorongan dan nasihat sepanjang beliau menyertai saf Wiramuda.

“Presiden banyak memberi pelajaran, pengajaran dan kata-kata semangat. Nasihat beliau menjadi penguat ketika melalui cabaran getir dalam perjuangan. Saya amat menghargainya,” jelasnya.

Walaupun tidak dipilih sebagai calon PRU-17, Razzidin menegaskan bahawa beliau menghormati sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan dan menerimanya dengan semangat demokrasi serta solidariti.

“Saya menerima keputusan parti dengan hati terbuka. Saya akan terus memberi sokongan dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda StarSabah dengan tekad yang sama,” katanya.

Beliau turut menekankan komitmennya untuk meneruskan perjuangan membela rakyat Sabah serta menyumbang kepada pembinaan masa depan negeri yang lebih adil, bermaruah dan inklusif.

“Semoga semangat silaturahim dan keikhlasan dalam perjuangan terus subur demi masa depan Sabah,” ujarnya.