KES PALSU DOKUMEN TENDER BABITKAN PETER ANTHONY, PIHAK PENDAKWAAN TUTUP KES

KES PALSU DOKUMEN TENDER BABITKAN PETER ANTHONY, PIHAK PENDAKWAAN TUTUP KES

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan menutup kes pemalsuan dokumen tender membabitkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Peter Anthony.

Peter, 50, didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi (kelmarin), selepas saksi terakhir, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, 66, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan kedua-dua pihak selesai memberikan keterangan.

Sebelum ini, 15 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhuung kes tersebut.

Terdahulu Wan Shaharuddin memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof.

Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 8 Oktober dan mengemukakan jawapan balas pada 18 Oktober.

Mahkamah turut menetapkan 29 Oktober untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula April lalu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Dato’ Sri Najib turut menjadi saksi kes pemalsuan dokumen tender UMS oleh Peter Anthony…(Sumber foto ihsan BH & MG Online)

Peter yang juga ADUN Melalap dan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada bulan Jun, 2020 turut didakwa atas beberapa pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta berkaitan dengan pembelian tanah RISDA dan kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15,545,400.

Peter bersama Peguam Micahel Ubu sekali lagi didakwa di Mahkamah yang sama pada 18 Jun 2020 bagi kes pecah amanah wang membabitkan penjualan tanah RISDA bernilai RM15,545,400…(Sumber Foto: Ihsan BH Online)