Pekerja Stesen Minyak Maut Ditembak Selepas Tegur Pelanggan Tidak Memakai Pelitup Muka

Pekerja Stesen Minyak Maut Ditembak Selepas Tegur Pelanggan Tidak Memakai Pelitup Muka

0
SHARE

FRANKFURT, JERMAN – Seorang pekerja stesen minyak di sini yang berusia 20 tahun ditembak mati oleh seorang pelanggan yang marah hanya kerana diminta untuk memakai pelitup muka (facemask) semasa membeli bir.

Berita yang mengejutkan itu membuatkan warga Jerman bercampur marah kerana pembunuhan yang berlaku pada Sabtu malam baru-baru ini di bandar barat Idar-Oberstein itu dipercayai adalah yang pertama di Jerman.

Menurut sumber yang dipetik AFP, pertikaian bermula apabila pekerja stesen minyak yang bertugas sebagai juruwang menyuruh pelanggan tersebut memakai pelitup muka seperti mana yang telah disyaratkan di semua kedai Jerman.

Selepas perbalahan ringkas berlaku, lelaki itu beredar pergi keluar daripada stesen minyak tersebut dan kemudiannya kembali kira-kira satu setengah jam selepas itu dengan memakai pelitup muka.

Namun, ketika dia membawa enam pek birnya ke kaunter, dia menanggalkan pelitup muka itu dan satu lagi perbincangan berlaku.

“Pelaku kemudian mengeluarkan revolver dan menembak juruwang itu tepat di kepala,” kata Pendakwa Raya, Kai Fuhrmann.

Suspek, seorang lelaki Jerman berusia 49 tahun, berjalan ke balai polis pada hari berikutnya untuk menyerah diri.

Dia ditangkap dan mengaku melakukan pembunuhan itu.

Dia menyatakan kepada polis bahawa dia merasa ‘terganggu’ oleh peraturan COVID-19 yang dianggapnya sebagai ‘pelanggaran hak-haknya yang semakin meningkat’ dan dia tidak melihat ‘jalan keluar lain’, kata Fuhrmann.

Datuk Bandar Idar-Oberstein, Frank Fruehauf menyifatkannya ‘tindakan yang tidak diduga, mengerikan’, dan penduduk meletakkan bunga dan lilin di luar stesen minyak.