Taliban Wajibkan Pelajar Wanita Memakai Jubah Dan Niqab

Taliban Wajibkan Pelajar Wanita Memakai Jubah Dan Niqab

0
SHARE

KABUL, AFGHANISTAN – Taliban membenarkan kaum wanita di negara ini untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan dengan syarat mereka (wanita) diwajibkan untuk memakai jubah dan niqab.

Sebelum ini, Taliban memaklumkan pengasingan kelas akan dilakukan di mana pelajar wanita tidak akan ditempatkan dalam kelas yang bercampur dengan lelaki.

Dakwa Taliban, ini sebagai tanda pembaharuan positif era pemerintahan mereka berbanding zaman 90-an dahulu yang mengharamkan kaum wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pergi ke sekolah.

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa pendidikan Taliban turut mengarahkan pelajar perempuan hanya boleh diajar oleh pensyarah wanita sahaja.

Namun jika tiada pensyarah wanita, lelaki berusia dengan ‘perwatakan yang baik’ boleh dipertimbangkan sebagai pengganti.

Peraturan sama terpakai untuk kolej swasta dan universiti yang banyak ditubuhkan sejak pentadbiran terdahulu Taliban berakhir pada 2001 susulan serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang tempoh terbabit, gadis dan wanita sukar mendapatkan pendidikan berikutan peraturan kelas perlu dipisahkan antara wanita dan lelaki selain perempuan harus ditemani saudara lelaki setiap kali keluar dari rumah.

Tiada arahan untuk wanita memakai burqa dalam peraturan baharu yang dikeluarkan semalam, sebaliknya hanya niqab yang menutupi sebahagian besar wajah dengan hanya mendedahkan mata.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, burqa dan niqab hampir tidak digunakan di Kabul dan hanya digunakan di beberapa bandar lebih kecil.

Arahan baharu Taliban itu dikeluarkan ketika universiti swasta dijangka dibuka semula esok.

“Universiti diminta menyediakan pensyarah wanita untuk pelajar wanita berdasarkan kemudahan yang mereka miliki…

“Selain itu, pihak pengurusan mesti menyediakan pintu masuk dan keluar yang berbeza bagi pelajar perempuan serta lelaki,” menurut arahan itu.

Disebabkan pelajar perempuan diwajibkan belajar di kelas berasingan, mereka juga perlu mengakhiri pembelajaran lima minit lebih awal berbanding pelajar lelaki untuk mengelakkan mereka bergaul di luar.

Mereka kemudian perlu menunggu di ruangan khas sehingga rakan pelajar lelaki meninggalkan bangunan.

Seorang profesor yang enggan dikenali berkata secara praktikal, ia adalah syarat yang sukar kerana institusi pendidikan tidak mempunyai kelas atau tenaga pengajar perempuan yang mencukupi untuk tujuan itu.

“Namun, perkembangan di mana mereka membenarkan perempuan untuk bersekolah dan melanjutkan pengajian di sekolah adalah satu langkah positif, “ katanya kepada AFP.