SUKAU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sukau menegaskan bahawa kekuatan jentera mereka tidak terjejas susulan tindakan bekas Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Saddi Abdul Rahman, bersama beberapa penyokong beliau keluar daripada parti.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sukau, Badrul Hisham Juhari berkata, tindakan tersebut dianggap tepat dan sekali gus menyingkirkan mereka yang tidak lagi sehaluan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Terima kasih kerana keluar dari parti, kerana dengan tindakan itu anda telah membuktikan diri anda sekali lagi sebagai pengkhianat. Rekod tidak pernah menipu, sudah banyak siri lompatan yang dibuat selama ini,” tegas Badrul dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keputusan Saddi untuk meninggalkan Gagasan Rakyat bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya telah dijangka berdasarkan sikap dan rekod politiknya sebelum ini.
“Mereka ini berselindung di bawah kerajaan GRS selama ini, menikmati jawatan penting dalam GLC dan kedudukan di peringkat daerah, namun apabila menjelang pilihan raya, memilih untuk menentang kerajaan tanpa sebab yang pasti,” katanya.
Menurut Badrul, tindakan berpaling tadah itu bukanlah kali pertama bagi Saddi, yang pernah bertukar haluan politik beberapa kali sebelum ini.
“Daripada UMNO ke Warisan, kemudian menjadi calon Bebas, selepas itu menyertai Gagasan Rakyat dan kini kembali semula ke Warisan. Semua ini bukan lagi perjuangan rakyat, tetapi perjuangan kuasa semata-mata. Rakyat Sukau sudah muak dengan sikap seperti ini,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemergian Saddi tidak memberi sebarang kesan besar terhadap persiapan jentera GRS di peringkat bahagian.
Malah, katanya, sepanjang tiga tahun memegang jawatan dalam Gagasan Rakyat, Saddi didakwa gagal menunjukkan komitmen terhadap perjuangan parti.
“Beliau kurang memainkan peranan memperkukuh parti di peringkat akar umbi dan lebih gemar bergerak secara solo, terutamanya dalam isu-isu seperti Pekan Baru Sukau,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Pemuda PGRS Sukau menegaskan komitmen penuh mereka untuk terus mendokong Dato Juhari Janan, Ketua Bahagian PGRS Sukau, yang juga calon rasmi bagi kerusi DUN N.59 Sukau pada PRN-17.
“Pemuda Gagasan Rakyat sudah mempersiapkan jentera sepenuhnya dan bersedia menghadapi siapa sahaja calon lawan untuk memastikan kawasan N.59 Sukau kekal di tangan GRS. Kami bertekad menyumbang satu kerusi bermakna bagi memastikan GRS kembali membentuk kerajaan negeri Sabah,” tegas Badrul.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan keluar parti oleh beberapa individu itu tidak akan menggoyahkan semangat perjuangan GRS di Sukau, sebaliknya memperkukuh keazaman untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam PRN akan datang.






