RANAU, SABAH – Seorang pemandu wanita berusia 21 tahun sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan Proton Exora yang dipandu beliau musnah terbakar di Jalan Telupid – Ranau petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan berlakunya kemalangan melibatkan bahagian belakang kenderaan Isuzu Dmax yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 3.13 tadi.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu (1) aliran hos salur bantu mula sehingga api padam sepenuhnya…
“Kedua-dua pemandu kenderaan yang berada pada lokasi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah operasi terkawal pada jam 3:52 dan tamat pada jam 4 tepat.
Sementara itu, dalam sebuah kes yang asing di Kinabatangan, seorang pemilik kenderaan Perodua MyVi turut ditimpa nasib yang malang.
PGO melaporkan longkang hujan konkrit yang berada pada atap sebuah rumah di Kampung Perpaduan jatuh dan meretakkan cermin kereta tersebut pada bahagian penumpang hadapan.


“Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan menerima panggilan pada jam 11.49 yang berjarak kira-kira 25 Km daripada balai…
“Pasukan Bomba bertindak melakukan pemeriksaan untuk memastikankan tiada kemerbahayaan lain seterusnya memasang sawar-sawar di sekitar lokasi.
“Tiada kecederaan dan kematian dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan pada jam 12:57 tengah hari,” katanya dalam sebuah kenyataan.





