Penubuhan JKDM Melanggar Perlembagaan Dan Semangat Negeri Sabah – Ansari

Penubuhan JKDM Melanggar Perlembagaan Dan Semangat Negeri Sabah – Ansari

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar melanggar Perlembagaan kata peguam dan Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Ansari Abdullah.

Katanya, JKDM bertentangan dengan semangat dan teks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC62) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sejarah kerajaan tempatan dan pentadbiran di Sabah yang telah melalui beberapa peristiwa penting sejak tamatnya Perang Dunia Kedua seharusnya menjadi rujukan bagi menghormati semangat pejanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Mengungkap balik sejarah, Kerajaan Sivil untuk Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah, telah ditubuhkan semula pada 15 Julai 1946 iaitu selepas penyerahan tentera Jepun.

Di bawah North Borneo Cession Order in Council yang diwartakan pada 10 Julai 1946, ianya menjadikan Sabah sebagai Koloni Borneo Utara termasuk Labuan.

Semasa zaman kolonial, Borneo Utara ditadbir oleh Gabenor, dibantu oleh Residen dan Pegawai Daerah. Rangka kerja pentadbiran ini berkembang dengan penggubalan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar (cap 132) pada 6 Disember 1951.

Ordinan ini membolehkan penubuhan pihak berkuasa tempatan untuk kawasan bandar dan melantik Ketua-ketua Anak Negeri dan ketua kampung untuk kawasan luar bandar.

Walau bagaimanapun pada tahun 1961 pula , Ordinan Kerajaan Tempatan (Ordinan No. 11 tahun 1961) telah diluluskan, di mana ianya mewujudkan satu undang-undang berasingan bagi pentadbiran bandar dan luar bandar.

Selepas pembentukan Malaysia dibuat, rakyat Sabah kemudiannya telah mengemukakan “20 Perkara” sebagai langkah perlindungan dimana kawalan ke atas kawasan kritikal seperti tanah, perhutanan, dan kerajaan tempatan dikekalkan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Perlindungan ini dimasukkan ke dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam Senarai II (Senarai Negeri) perkara 4 dan Senarai IIA (Tambahan kepada Senarai Negeri untuk Negeri Sabah dan Sarawak) perkara 14,” katanya.

Tambahnya, pada masa kini, pentadbiran luar bandar, termasuk pelantikan ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), berada di bawah kawalan Pegawai Daerah, Datuk Bandar, Majlis Perbandaran, dan Majlis Daerah.

“Dalam erti kata lain, ia di bawah kawalan dan arahan Kerajaan Negeri Sabah, bukan Kerajaan Persekutuan,” Sabah Media melaporkan beliau sebagai berkata.

Ansari berkata cadangan itu juga dilihat sebagai tidak konsisten dengan janji Kerajaan MADANI untuk melaksanakan perjanjian IGC62/MA63 dan pengembalian kuasa kepada Sabah dan Sarawak.

“Jika dilaksanakan, cadangan ini boleh mengurangkan kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Negeri Sabah,” tegasnnya.