KOTA MARUDU: Pemeriksaan HPV DNA dan mamogram percuma menjadi antara tumpuan utama dalam Program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga, bersempena pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) peringkat daerah Kota Marudu.
Program julung kali yang berlangsung di Dewan PPR Jaya, Kerongkom ini dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag, dengan ucapan aluan disampaikan oleh Datuk Redonah Bahanda, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah.
Redonah dalam ucapannya menegaskan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran wanita terhadap risiko kanser serviks dan payudara, sambil menggesa wanita berkelayakan untuk merebut peluang menjalani saringan awal HPV DNA dan mamogram yang ditawarkan secara percuma dalam program tersebut.
“Saringan awal adalah kunci. Jangan tunggu sakit baru bertindak. HPV DNA dapat kesan awal perubahan sel yang boleh membawa kepada kanser serviks,” katanya.
Beliau turut memuji tema program yang menggabungkan teknologi dan nilai kekeluargaan sebagai pendekatan holistik dalam memperkasakan institusi keluarga.
Katanya, teknologi harus dimanfaatkan sebagai alat penyatuan, bukan pemisahan dalam keluarga moden.
Program anjuran bersama LPPKN, MUTIARA GRS, Pejabat Daerah, dan pelbagai agensi serta NGO ini turut membuka akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar yang sebelum ini sukar mendapat maklumat dan rawatan awal.
Redonah juga menekankan bahawa menjaga kesihatan wanita bukan hanya tanggungjawab wanita semata-mata, tetapi memerlukan sokongan semua pihak termasuk pasangan, anak-anak dan masyarakat setempat.
“Jangan simpan maklumat ini untuk diri sendiri sahaja, sebarkan agar lebih ramai mendapat manfaat.
“Kita mahu wanita terus sihat dan menjadi tulang belakang keluarga dan masyarakat,” katanya.






