KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menggandakan usaha memperkukuh sekuriti makanan dengan memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian serta pembangunan bioteknologi bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, antara langkah utama termasuk pelaksanaan Program Revolusi Padi serta mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan varieti baharu dan bahan tanaman berkualiti tinggi.
“Dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, sektor pertanian akan terus dimodenkan dengan tumpuan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, di sini pada Khamis.
Seiring itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025-2030 sebagai langkah strategik untuk memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Menurutnya, antara program baharu di bawah RAER ialah Program Kebun Dapur yang menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang kediaman.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memupuk budaya pertanian dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata, sektor perladangan khususnya industri sawit kekal sebagai tunjang utama ekonomi negeri, dengan usaha berterusan meningkatkan produktiviti melalui inovasi, mekanisasi dan teknologi pertanian berketepatan tinggi, di samping memastikan kelestarian terus dipelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa sektor perikanan akan diperkasa menerusi pendekatan ekonomi biru termasuk pembangunan fasiliti, pengukuhan industri hiliran serta aktiviti konservasi bagi menjamin pengeluaran hasil yang mampan.
Tambahnya, kemudahan jeti di Kompleks Perikanan SAFMA akan ditambah baik bagi menampung peningkatan lebih 20 peratus hasil pendaratan ikan di negeri ini.
Sementara itu, sektor penternakan akan terus diperkasa berpandukan Dasar Agromakanan Negara 2.0 serta Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah 2026–2030 dengan fokus kepada peningkatan kadar sara diri (SSR) ruminan, jaminan keselamatan makanan dan pengukuhan sistem kesihatan haiwan.
“Kerajaan akan terus memperkukuhkan ekosistem industri ternakan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat,” katanya.






