Exists Kembali Gegar Pentas, Memento Mori Satukan Tujuh Legenda Ogos Ini

Exists Kembali Gegar Pentas, Memento Mori Satukan Tujuh Legenda Ogos Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kugiran legenda tanah air, Exists kembali menggegarkan pentas muzik tempatan menerusi penganjuran Konsert Exists Memento Mori yang bakal berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.

Konsert berskala besar itu menjadi manifestasi perjalanan seni Exists yang telah bertahan lebih 35 tahun dalam industri hiburan Nusantara, sekali gus mengangkat falsafah “Memento Mori” yang menekankan kepentingan menghargai setiap detik kehidupan.

Lebih istimewa, konsert ini menyatukan kembali tujuh figura utama Exists iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa bersama dua vokalis ikonik mereka, Mamat Exists serta Ezad Lazim dalam satu pentas selepas sekian lama.

Penganjur, ICON Entertainment menyifatkan penganjuran tersebut sebagai penghargaan terhadap legasi Exists yang kekal relevan meskipun berdepan pelbagai fasa jatuh bangun dalam industri muzik.

Wakilnya, Iman Tang berkata, keupayaan Exists bertahan selama lebih tiga dekad bukan sesuatu yang mudah, terutama dalam landskap industri hiburan yang sentiasa berubah.

Exists kekal wujud dan relevan bukan sahaja kerana sikap, tetapi juga kekuatan karya-karya berkualiti yang terus hidup dalam jiwa peminat,” katanya.

Menurutnya, konsert ini juga dianggap sebagai “anugerah” kepada peminat apabila bakal menampilkan rangkaian lagu popular yang bersifat ‘sing along’, selain menyatukan kembali barisan lengkap kumpulan tersebut.

Sementara itu, anggota Exists, Along menyifatkan konsert berkenaan sebagai simbol perpaduan dan penghargaan terhadap perjalanan panjang kumpulan itu dalam industri.

“Exists mampu bertahan kerana setiap anggota memainkan peranan penting serta saling menghormati walaupun pernah berdepan cabaran dan perbezaan. Konsert ini adalah manifestasi perjalanan dan perjuangan kami,” katanya.

Konsert Exists Memento Mori turut menawarkan beberapa kategori tiket iaitu RM228, RM288, RM328, RM388, RM428 dan RM488, selain pakej eksklusif sofa ‘couple seat’ berharga RM5,000. Tiket akan mula dijual pada 30 April ini menerusi platform rasmi.

Dengan gabungan nostalgia, kekuatan karya malar segar serta penyatuan semula barisan legenda, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Exists sebagai antara kugiran terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia.