Didie Shazry Kembalikan Memori ‘Yang Berlalu Tak Berulang’

Didie Shazry Kembalikan Memori ‘Yang Berlalu Tak Berulang’

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi muda berbakat asal Sabah, Didie Shazry mengembalikan memori lagu ikonik “Yang Berlalu Tak Berulang” menerusi versi rakaman semula yang diberi nafas baharu bagi mendekati citarasa generasi masa kini.

Didie atau nama sebenarnya E.D Shazry mula dikenali selepas dinobatkan sebagai juara program realiti Astro Raise The Star, selain mencuri perhatian apabila mempersembahkan karya komposer Aina Abdul di pentas akhir pertandingan tersebut.

Beliau juga merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Projek rakaman semula lagu berkenaan diterbitkan oleh Luncai Emas selaku pemegang hak cipta, dengan persetujuan komposer asal, Neves Pretty Ugly.

Lagu itu sebelum ini dipopularkan oleh mendiang Lotter dengan lirik hasil nukilan Allahyarham Loloq.

Menurut Neves, lagu tersebut mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ia merakamkan memori dua figura seni yang kini telah tiada.

Lagu ini asalnya dibawa oleh mendiang Lotter, dengan lirik oleh Allahyarham Loloq. Pemergian mereka meninggalkan ruang yang sukar diisi. Saya sangat menghargai cara Didie menghidupkan kembali emosi dalam lagu ini dengan penuh hormat,” katanya.

Sementara itu, Didie berkata projek berkenaan amat bermakna kerana menghubungkannya dengan dua tokoh seni yang menjadi idolanya sejak kecil.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya kerana saya membesar dengan karya sebegini. Saya berharap versi baharu ini dapat menarik minat generasi baharu dan dalam masa sama menyentuh hati peminat lama,” katanya.

Sebelum ini, Didie turut terlibat dalam album kompilasi “Joget Made In Malaysia” terbitan Luncai Emas menerusi lagu joget kontemporari “Joget Jiwa Lara”, bersama barisan artis seperti Amir Jahari, Kmy Kmo & Luca Sickta, Jaclyn Chia dan Puteri Khareeza.

Rakaman lagu “Yang Berlalu Tak Berulang” dilakukan di Jakarta bersama produser Joel Christine, dengan susunan muzik dan melodi yang diolah semula mengikut identiti vokal Didie tanpa menghilangkan elemen asal.

Proses adunan dan mastering pula dikendalikan oleh Josecar Q.M Hutabarat di ICM Studio, Indonesia.

Video muzik lagu ini turut menjalani penggambaran di Bali, Indonesia di bawah arahan Alfi Aditya.

Single remake “Yang Berlalu Tak Berulang” telah dilancarkan pada 24 April menerusi saluran YouTube Luncai Emas serta boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Lagu ini diharapkan mampu menghidupkan semula legasi karya klasik selain menjadi pengingat tentang kenangan dan insan tersayang.