Bailey Bridge Sementara di Jalan Tun Fuad Dijangka Siap Dalam Tempoh Dua...

Bailey Bridge Sementara di Jalan Tun Fuad Dijangka Siap Dalam Tempoh Dua ke Tiga Minggu – Joachim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemasangan jambatan sementara jenis Bailey Bridge di lokasi jambatan rosak di Kilometer 2.85, Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Lipat) dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemasangan Bailey Bridge itu sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai langkah segera bagi memulihkan semula laluan yang terjejas.

Beliau berkata, penyediaan jambatan sementara itu bertujuan memastikan pergerakan pengguna jalan raya kembali lebih lancar, selesa dan selamat sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

Berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan Bailey Bridge dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi.

“Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bersama JKR Sabah akan memastikan kerja-kerja ini disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Joachim meminta orang ramai supaya terus bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan kerja serta mematuhi semua arahan dan papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama serta kesabaran semua pihak dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna jalan raya.