Kerajaan Negeri Hormati Keputusan Mahkamah Rayuan

Kerajaan Negeri Hormati Keputusan Mahkamah Rayuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan geran khas Sabah bagi Tempoh Terlepas (1974–2021) serta pembayaran hak 40 peratus hasil negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun prosiding mahkamah masih berjalan, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan diharap dapat diteruskan dengan niat baik bagi mencapai persetujuan.

“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan hanya mengekalkan status quo sementara menunggu rayuan didengar.

“Ia tidak mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah semakan adalah bagi Tempoh Terlepas, ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk semakan,” katanya.

Hajiji turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang sebelum ini membantah penangguhan tersebut, namun menegaskan pihaknya tetap menghormati keputusan mahkamah.

“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian,” tegasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025 yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan untuk menghormati keputusan tersebut.

Sementara itu, tarikh tentatif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan ditetapkan antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala satu e-Review dijadualkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.