GUANGZHOU: Seramai 120 wakil perniagaan dari Sabah tiba di Guangzhou, China, pada Rabu bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan dalam sektor pertanian, perikanan serta industri makanan.
Delegasi yang diketuai bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau itu mengadakan lawatan kerja selama empat hari bermula 11 November.
Dexter berkata, penyertaan itu menjadikan lawatan berkenaan antara misi perdagangan terbesar dalam sejarah Sabah, sekali gus mencerminkan komitmen komuniti perniagaan negeri untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan China.
“Kami datang ke sini terutamanya untuk mempelajari pengalaman China dalam pembangunan pertanian serta meneroka peluang kerjasama.
“Kami berharap dapat menggabungkan kelebihan sedia ada Sabah dengan keupayaan perusahaan China untuk bersama-sama memajukan sektor pertanian,” katanya ketika ditemui media.
Menurutnya, kira-kira 400 usahawan dan pemain industri China dijangka menyertai sesi pertukaran perniagaan, selain wakil daripada 20 dewan perniagaan dan organisasi berkaitan bagi membincangkan potensi kerjasama.
Beliau berkata, delegasi turut akan memperkenalkan peluang pelaburan Sabah dalam sektor pelancongan dan industri lain kepada pelabur China.
Sementara itu, Jamawi berkata, lawatan berkenaan memberi peluang kepada Sabah mempelajari penggunaan teknologi moden, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti pertanian serta daya saing industri agromakanan negeri.
Katanya, penggunaan teknologi baharu juga penting untuk menarik penyertaan golongan muda memandangkan sektor pertanian Sabah selama ini banyak diterajui generasi lebih berusia.
“Pengenalan kecerdasan buatan dan mekanisasi dapat membantu meningkatkan produktiviti pertanian, selain menjadikan industri ini lebih menarik kepada golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam bidang pertanian dan aktiviti perniagaan berkaitan,” katanya.
Jamawi turut menghargai usaha MCCC Sabah dalam menjayakan lawatan itu dan berharap kerjasama yang diteroka mampu mempercepat pemodenan sektor pertanian, memperkukuh keselamatan makanan serta merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.






