KUALA LUMPUR: Pandangan dan pendirian Kerajaan Sabah perlu diambil kira dalam penggubalan undang-undang serta dasar berkaitan perhutanan, perubahan iklim, kelestarian alam dan pasaran karbon negara.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, Sabah dan Sarawak merupakan pemegang taruh utama dalam perkara berkenaan berikutan keluasan liputan hutan masing-masing yang melebihi purata nasional.
Katanya, Sabah mencatatkan liputan hutan sebanyak 62.53 peratus, diikuti Sarawak 61.52 peratus, berbanding kadar nasional sebanyak 54.4 peratus.
“Ini menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai pemegang taruh utama dalam sebarang perkara perundangan, dasar dan inisiatif yang berkaitan dengan perhutanan, perubahan iklim, kelestarian alam dan pasaran karbon negara.
“Liputan hutan yang luas di Sabah ini sudah pastinya akan membantu komitmen Malaysia ke atas Paris Agreement dan United Nations (UN) Sustainable Development Goals (SDG),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut meminta penjelasan mengenai status Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara serta sejauh mana pendirian Kerajaan Sabah diambil kira dalam penggubalannya.
Beliau turut membangkitkan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon yang dilancarkan pada April lalu dan menggesa Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada Sabah.
“Walaupun Tanah dan Perhutanan merupakan Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi kerana Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa, maka sudah sewajarnya Kementerian melihat kerjasama yang lebih baik termasuk menambah dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Sabah sebagai insentif ‘mensubsidi’ liputan hutan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut menggesa penambahan peruntukan bagi pembinaan telaga tiub dan sistem penapisan air di kawasan luar bandar, khususnya Penampang dan Kadamaian yang masih berdepan masalah bekalan air terawat.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai pelaksanaan Kajian Geobencana Negara bernilai RM65 juta, termasuk skop kajian di Sabah serta usaha pemulihan bekas lombong tembaga Mamut di Ranau.
Selain itu, Ewon mengalu-alukan peruntukan RM411,000 bagi Projek Heart of Borneo (HOB) Sabah, namun mencadangkan dana tahunan turut disediakan bagi pemeliharaan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Banjaran Crocker.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat serta POIC Lahad Datu dilaksanakan seiring usaha pemeliharaan ekosistem marin dan hutan di kawasan sekitarnya.






