KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempercepatkan proses pengambilan 15,000 pekerja asing tambahan bagi subsektor restoran bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang sekian lama membelenggu pengusaha industri berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kelulusan kuota tambahan itu dibuat Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung Julai lalu.
Menurutnya, proses permohonan kini sedang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas pengurusan Pusat Sehenti (OSC) bagi pengambilan pekerja asing dipindahkan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada kementerian berkenaan.
“Jemaah Menteri bersetuju supaya KESUMA memproses segera perkara ini bersandarkan kepada kuota siling 15,000 yang telah diluluskan serta-merta dan pastinya berdasarkan syarat serta kriteria ditetapkan untuk subsektor restoran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Kali Ke-22 di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Presma Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Armizan berkata, kerajaan memahami kesukaran pengusaha restoran mendapatkan pekerja, namun pada masa sama perlu mengimbangi keperluan industri dengan agenda mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.
Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menetapkan sasaran supaya kadar pekerja asing berbanding jumlah guna tenaga negara dikurangkan kepada 10 peratus menjelang 2030.
“Walaupun peratusan itu dikurangkan kepada 10 peratus, jumlah pekerja asing bukan semestinya berkurangan kerana jumlah guna tenaga negara juga semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Presma dan semua pihak berkepentingan supaya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Menurutnya, usaha itu perlu berasaskan data dan kajian menyeluruh, termasuk meneroka penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi dalam operasi restoran.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha restoran tidak boleh dibiarkan melaksanakan peralihan itu secara bersendirian kerana ia memerlukan pelaburan serta kos yang tinggi.
“Restoran secara individu tidak boleh mencapai matlamat itu sendiri kerana ia melibatkan pelaburan yang juga mahal. Sebab itu perlu ada bantuan kerajaan dan kerjasama industri.
“Insya-ALLAH, kita boleh melihat bentuk mekanisasi dan automasi yang dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta dalam jangka panjang mengurangkan tekanan kos penggajian,” katanya.
Armizan berkata, kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing turut memberi kesan kepada pertumbuhan kadar upah, produktiviti, pengaliran wang ke luar negara serta usaha meningkatkan pendapatan rakyat.






