SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila, Sungai Sibuga, petang Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.01 petang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi di kolam berkenaan.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang tiba di lokasi mendapati kedua-dua mangsa telah berjaya ditemukan dan dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.
“Pemeriksaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata seorang jurucakap agensi.
Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Mohd Ikmal, 9, manakala identiti mangsa kedua berusia 11 tahun belum diperoleh.
“Pasukan bomba membantu mengangkat dan membawa mangsa ke lokasi selamat sebelum diserahkan kepada KKM dan seterusnya pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Operasi yang melibatkan lima anggota BBP Sandakan itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.08 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.






