KOTA KINABALU: Sabah telah menerima RM600 juta daripada geran khas interim RM1.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, manakala baki RM900 juta dimohon disalurkan dalam tahun ini, kata Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Mohd Ishak Ayub.
Beliau berkata bayaran itu hanyalah interim dan bukan jumlah muktamad, sambil menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil di bawah Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan sepenuhnya. Jika tiada persetujuan dicapai, negeri mencadangkan pelantikan penilai bebas seperti diperuntukkan.
Menurutnya, beberapa siri perbincangan dengan kerajaan Persekutuan telah diadakan pada Jun lalu.
Sementara itu, Sabah turut memohon peruntukan tambahan RM1.61 bilion melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 bagi memastikan operasi kerajaan berjalan lancar hingga hujung tahun.
Daripada jumlah itu, RM856 juta (53 peratus) untuk caruman dana berkanun, diikuti RM278 juta perbelanjaan operasi, RM210 juta pelaburan, RM162 juta pentadbiran, RM93 juta geran dalam negeri dan RM13 juta peruntukan khas.
Peruntukan tambahan itu diperlukan bagi menampung fungsi kerajaan, memenuhi komitmen kewangan serta mengurangkan defisit akaun pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan serta jambatan.






