KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) meningkat kepada kira-kira 1,200 MegaWatt (MW) menjelang 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik, sekali gus memperkukuh bekalan elektrik negeri yang lebih stabil, mampan dan berdaya harap.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu dilaksanakan berpandukan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan elektrik Sabah.
Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan sasaran supaya tenaga boleh baharu menyumbang 50 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri menjelang 2035.
Manakala fokus sehingga 2030 katanya, adalah memperluaskan pembangunan tenaga solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin serta sistem penyimpanan tenaga bagi memastikan kestabilan grid bekalan elektrik.
“Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan inisiatif strategik berkaitan tenaga boleh baharu di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri iaitu Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (ADUN Sook) mengenai hala tuju kerajaan dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan apakah projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan bagi merialisasikan sasaran tersebut.
Menurut Hajiji, ketika ini kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307MW, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan negeri.
Bagi meningkatkan kapasiti itu, kerajaan sedang melaksanakan beberapa projek utama, termasuk projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450MW, merangkumi 200MW yang dijangka siap pada penghujung 2026 hingga awal 2027 serta tambahan 250MW yang disasarkan siap pada 2028.
Selain itu, projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 200MW/400MWh turut dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028, diikuti projek tenaga angin berkapasiti 100MW yang dijadual siap pada 2029.
Kerajaan juga meneruskan pembangunan Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW, yang kedua-duanya dijangka siap pada 2030.
Hajiji berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut secara berfasa diyakini mampu meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada sekitar 1,200MW, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri menjelang 2030.
“Kerajaan Negeri yakin sasaran 50 peratus pada tahun 2035 dapat dicapai melalui projek-projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.






