Plastik Berisi Satu Janin Ditemukan Penduduk Di Sandakan

Plastik Berisi Satu Janin Ditemukan Penduduk Di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Plastik yang berisi satu janin ditemukan oleh seorang penduduk di kawasan kawasan letak kereta berbumbung Wisma Wee Min berhampiran perkampungan setinggan atas bukit Kampung Kombo Jalan Leila, petang kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.15 petang, semasa Lans Kopral Noramirul Jamaludin, bersama Sarjan Adim menjalakan tugas rondaan di Jalan Leila Sandakan telah menerima panggilan daripada seorang penduduk Kampung Kombo mengatakan terjumpa satu beg plastik mengandungi janin bayi ditinggalkan di tempat letak kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata siasatan lanjut mendapati janin itu ditemui lebih kurang jam 2 petang oleh seorang penduduk semasa dalam perjalanan balik ke rumahnya di kawasan kampung terbabit.

“Penduduk kampung itu telah terlihat satu beg plastik di atas lantai tempat letak kereta dan telah membukanya sebelum menjumpai janin berkenaan,” katanya.

Sumber Foto: Media sosial Facebook…

Mohd Azhar berkata hasil pemeriksaan awal mendapati janin tersebut dalam lingkugan 8 atau 9 bulan.

“Keadaan janin itu sempurna lengkap kepala, dua tangan, dua kaki, masih bertali pusat dipercayai dipotong sendiri serta diselaputi ketuban. Secara pemerhatian awal mendapati tiada sebarang kesan luka pada janin,” katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata janin tersebut kemudian dihantar oleh pihak polis ke Kamar Mayat Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk dibedah siasat.

Setakat ini, beliau berkata belum ada maklumat ibu kepada janin ini diperolehi dan siasatan masih diteruskan.

Mohd Azhar meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat yang mana boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.