
KINABATANGAN: Suara penduduk pedalaman kembali menjadi perhatian apabila dua pemimpin akar umbi tampil menyuarakan kekecewaan serta harapan mereka terhadap keadaan pembangunan di kawasan luar bandar, menjelang Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU17) pada 29 November ini.
Mantan wakil ketua anak negeri DUN Lamag, Irwan Miun, 63, menyatakan rasa kecewa terhadap rekod pembangunan selama lebih 30 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN), yang menurutnya gagal memenuhi keperluan asas penduduk kampung.

“30 tahun… apa yang kami dapat?” soalnya ketika ditemui di Kampung Sangau.
Irwan berkata penduduk sudah terlalu lama menunggu janji pembangunan yang tidak kunjung tiba.
“Dalam 30 tahun, saya sendiri hanya dapat satu kali pembaikan rumah. Satu pun tiada lagi selepas itu,” katanya, sambil menegaskan bahawa keadaan kampung masih tidak banyak berubah walaupun telah melalui enam pilihan raya.
Menurut Irwan, isu terbesar yang membelenggu penduduk ialah kegagalan menyediakan kemudahan asas, termasuk akses elektrik yang sepatutnya sudah lama dinikmati penduduk.
Katanya, alasan bahawa projek tidak dapat dilaksanakan kerana kos tinggi dan jumlah penduduk yang kecil tidak lagi boleh diterima setelah 30 tahun berkuasa.
“Katanya susah, beratus juta, penduduk sikit. Tapi di kawasan lain boleh pula dibina macam-macam,” katanya.
Irwan turut mempersoalkan alasan bahawa projek tertentu tidak dapat dibawa masuk kerana ia menggunakan peruntukan dari Semenanjung.
“Apa salahnya peruntukan Semenanjung dibawa ke sini? Kita juga Malaysia. Kita juga penyumbang undi,” katanya.
Beri sokongan kepada calon muda GRS

Sementara itu, di Kampung Kulukulu, Ketua Penduduk, Daimih Damai, 46, menyeru penduduk agar memberikan sokongan kepada calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari, yang menurutnya merupakan pemimpin akar umbi yang memahami keperluan sebenar penduduk pedalaman.
Daimih berkata Johainizamshah yang lahir dan membesar di kawasan tersebut sudah lama mengetahui masalah yang sering dibangkitkan masyarakat setempat.
“Kita perlu angkat beliau sebagai wakil kita agar segala masalah di sini dapat dibawa dan diperjuangkan,” katanya.
Menurutnya, sebagai anak kampung, adalah mustahil Johainizamshah mengabaikan penduduk kerana hubungan rapat dan asal-usulnya sendiri yang mengikatnya dengan masyarakat setempat.
PRU Sabah 17: Gelombang perubahan di akar umbi
Kedua-dua suara — kekecewaan Irwan terhadap rekod lama dan keyakinan Daimih terhadap kepimpinan generasi baharu — menggambarkan perubahan sentimen di kawasan pedalaman menjelang PRU17.
Irwan turut menyeru penduduk menggunakan kuasa undi mereka untuk membawa perubahan.
“Orang kampung tidak salah guna undi. Kita tahu siapa kerja, siapa yang lupa rakyat,” katanya.
Dengan isu pembangunan asas, peluang generasi muda, dan rekod pemerintahan tiga dekad kembali menjadi perdebatan, PRU Sabah 17 dijangka menjadi medan penting bagi penduduk pedalaman menentukan arah pembangunan masa depan mereka.

Pada PRU kali ini, Johainizamshah akan mencabar penyandang DUN Lamag yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam PRN Sabah 2020, Bung Moktar menang kerusi DUN Lamag dengan majoriti 661 undi.





