Setiap Ringgit Dibelanja Untuk Produk Tempatan Perkukuh Ekonomi Negara – Armizan

Setiap Ringgit Dibelanja Untuk Produk Tempatan Perkukuh Ekonomi Negara – Armizan

0
SHARE

PULAU PINANG: Setiap ringgit yang dibelanjakan rakyat untuk produk tempatan berupaya menjana pendapatan peniaga dalam negara, mengurangkan kebergantungan kepada import dan seterusnya memperkukuh ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang konsisten akan menjadi lebih bernilai dan bermakna sekiranya sebahagian signifikan permintaan domestik disandarkan kepada barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada import dan pengaliran wang ke luar negara, malah memastikan perbelanjaan rakyat terus berlegar dalam ekonomi domestik serta memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Setiap sen yang kita belanjakan akan membantu menjana pendapatan peniaga tempatan dan memperkukuh ekonomi negara secara keseluruhannya.

Kita yakin pertumbuhan ekonomi yang konsisten ini akan menjadi lebih bernilai dan bermakna bilamana permintaan domestik adalah bersandarkan kepada jumlah yang signifikan kepada produk, iaitu perkhidmatan dan barangan keluaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan JOM MALAYSIA Pulau Pinang 2026, di sini, semalam.

Armizan berkata, permintaan domestik yang kukuh selari dengan perbelanjaan isi rumah yang mampan merupakan antara faktor pendorong utama kepada prestasi konsisten pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara direkodkan pada kadar 3.7 peratus pada 2023 sebelum meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024 dan 5.2 peratus pada 2025.

Setakat suku kedua 2026, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus.

Prestasi sektor perdagangan borong dan runcit yang berkait secara langsung dengan bidang kuasa KPDN turut menunjukkan peningkatan konsisten apabila nilai jualan meningkat daripada RM1.6 trilion pada 2022 kepada RM1.67 trilion pada 2023, RM1.77 trilion pada 2024 dan RM1.87 trilion pada 2025.

Setakat Jun tahun ini, nilai jualan sektor berkenaan telah mencecah RM999.7 bilion.

Sehubungan itu, Armizan berkata, transformasi gerakan membeli barangan tempatan kepada Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) penting bagi memastikan agenda memperkasa produk tempatan dilaksanakan dengan matlamat yang lebih jelas dan tersusun.

“JOM MALAYSIA bukan sekadar menukar nama atau logo. Ini adalah satu anjakan strategik daripada sebuah kempen promosi kepada sebuah gerakan nasional yang lebih jelas matlamatnya dan lebih tersusun pelaksanaannya,” katanya.

Menurutnya, JOM MALAYSIA dibangunkan berasaskan empat teras utama iaitu Gerakan Nasional berteraskan semangat patriotisme ekonomi, pendekatan Whole-of-Nation, Keterangkuman Produk Tempatan dan Memperluas Pasaran.

Armizan berkata, patriotisme ekonomi bukan bermaksud meminta rakyat membeli produk semata-mata kerana ia dibuat di Malaysia, sebaliknya membina keyakinan bahawa produk tempatan mampu bersaing atas kekuatan sendiri dari segi kualiti, nilai, inovasi dan jenama.

Pada masa sama, gerakan itu memerlukan penglibatan kerajaan, industri, usahawan, peruncit, platform digital, media, komuniti dan rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, produk Malaysia juga tidak lagi hanya tertumpu kepada barangan pengguna atau makanan dan minuman, sebaliknya merangkumi perkhidmatan, industri kreatif, fesyen, tekstil, kraftangan, reka bentuk, teknologi dan gaya hidup.

“Kita tidak mahu JOM MALAYSIA berhenti pada pasaran domestik. Kita mahu produk tempatan berkembang daripada lokal kepada nasional, daripada nasional kepada serantau, dan daripada serantau kepada global,” katanya.

Armizan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II dengan KPDN sebagai urus setia.

Katanya, keputusan itu menunjukkan usaha memperkasa produk tempatan bukan lagi kempen bermusim, sebaliknya agenda ekonomi negara yang memerlukan pendekatan whole-of-nation.

Transformasi JOM MALAYSIA bermula di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu sebelum diperluaskan ke Sandakan, Sabah pada 24 Julai.

Pelaksanaannya turut disokong menerusi inisiatif KITA KLIK! bagi memperluas kehadiran produk tempatan dalam ekosistem e-dagang, Dari Kita Untuk Kita yang menghubungkan produk tempatan dengan rangkaian pasar raya dan peruncit serta pendekatan Local to Global Retail bagi membuka laluan ke pasaran antarabangsa.

KPDN turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), termasuk menerusi Fashion Forward Batik Malaysia yang menghasilkan 30 reka bentuk eksklusif oleh 10 pereka fesyen tempatan menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Ini membuktikan khazanah warisan boleh dihidupkan, diinovasikan dan dijadikan produk premium sebagai jenama Malaysia yang bernilai di pasaran dunia,” katanya.

Armizan berkata, matlamat JOM MALAYSIA akhirnya bukan sekadar menggalakkan rakyat membeli, tetapi membina produk dan jenama Malaysia yang mampu berkembang sehingga ke pasaran antarabangsa.

“JOM MALAYSIA bukan sekadar tentang membeli. Ia tentang membina. Membina produk dan membina jenama. Produk dan jenama Malaysia.

“Kerana produk yang hari ini kita lihat di sebuah premis kecil di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak atau mana-mana negeri di Malaysia, pada suatu hari nanti boleh berada di rak-rak peruncitan di luar negara,” katanya.